KOTA KINABALU: Rombakan Esscom bagi meningkatkan tahap keselamatan di Sabah demi membendung penculikan berulang dan serangan rentas sempadan dilakukan berikutan kritikan orang ramai yang semakin memuncak kerana kegagalan badan itu.
“Rantaian perintah yang dirombak masih tidak jelas. Jika polis yang kini memimpinnya, apakah itu bererti jawatan Ketua Pengarah Esscom kini tidak penting lagi?” tanya Pengerusi STAR Sabah, Jeffrey Kitingan ketika ditanya mengenai reaksi beliau terhadap penyusunan semula Esscom.
“Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap keselamatan Sabah? Dan apa pula peranan dan tanggungjawab Ketua Menteri Sabah sebagai pengerusi keselamatan negeri ?”
“Najib harus ingat,” kata Jeffrey yang juga ADUN Bingkor, “bahawa ancaman terhadap keselamatan Sabah dan negara berpunca dari dalam negeri Sabah dan bukan dari luar.”
Katanya lagi,”Ancaman keselamatan seperti penculikan dan serangan rentas sempadan adalah disebabkan oleh dasar-dasar dan tindakan kerajaan persekutuan membantu dan ‘menyalurkan’ senjata kepada pemberontak Islam di selatan Filipina serta mengeluarkan kad pengenalan Malaysia secara haram kepada mereka untuk tujuan politik.”
Sehubungan itu beliau bertanya bagaimana kerajaan persekutuan menangani potensi bahaya itu tanpa laporan RCI dan cadangan serta solusi yang disarankan untuk dilaksanakan.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan persekutuan menjadi lebih telus dalam rancangan menangani masalah keselamatan dan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah dan tidak menganggap kemelut itu sebagai masalah kecil atau cuma sebagai aktiviti perhubungan awam.”
Pengganas hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar
“Kita sudah kesuntukkan masa dan hanya menunggu bom jangka untuk meletup di Sabah,”kata Jeffrey memberi amaran.
“Penangkapan dua suspek militan baru-baru ini, dikatakan dari Kampung Titingan di Tawau, Sabah (walaupun dinafikan oleh ketua kampung) dan penangkapan yang dilakukan oleh tentera laut serta kakitangan keselamatan, disyaki ada kaitan dengan pengganas dan ia hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar.”
Najib ketika mengumumkan penstrukturan semula Esscom berkata, Esscom akan mempunyai dua komponen utama – keselamatan dan pengurusan pertahanan, dan penguatkuasaan serta tindakan awam.